Tuesday, December 29, 2009

JERIT PERIH SEORANG POSMEN


PETUGAS Pos Malaysia ini mendapat kecederaan parah setelah terlibat dalam satu kemalangan berhampiran bangunan Sime Darby di ibu negara baru-baru ini.
Dalam keadaan di antara sedar dan tidak, beliau sempat menadah tangan memohon doa kepada Yang Maha Esa.
Seorang teman dalam Facebook, Saudara Effendi Rasyid yang berada di tempat kejadian sempat mengambil gambarnya yang ketika itu sedang berlumuran darah.
Dalam kita mengejar harta dunia dan kehidupan yang selesa, kita mungkin terlupa jasa yang disumbangkan oleh pekerja kolar biru seperti posmen, Mat Despatch, staff Alam Flora, kakitangan Indah Water dan lain-lain lagi.
Hujan dan terik mentari adalah permainan mereka, debu dan kotoran adalah jiwa mereka, comot dan kusam adalah ‘roh’ mereka, namun demi mencari rezeki yang halal untuk anak dan isteri di rumah, semua itu terpaksa ditelan begitu saja.
Seperti lelaki di atas. Dia bukannya pahlawan yang mendapat pingat keberanian terbilang, dia bukan seorang hakim yang mampu menjulang keadilan, dia juga bukan seorang ahli politik yang memenangi kerusi walau dengan hanya menggunakan lakonan dan lidah bercabang, tetapi bagi aku dia juga seorang perwira (biarpun tanpa ijazah dan penghormatan segala).
Cuma bezanya nama dan kisah malangnya tak mungkin tersiar di mana-mana media, kerana dia juga seperti aku, bukan siapa-siapa.

(Artikel dipetik dari laman syarilkadir.worldpress.com)

No comments:

Post a Comment